Pages

Friday, April 6, 2012

Bukan Doa Kamu Yang Makbul Sebenarnya.

Bercakap fasal doa,
saya teringat satu kisah yang sangat-sangat memberikan kesan dalam kehidupan saya. Guru-guru saya di sekolah, semenjak sekolah rendah, sangat menerapkan doa. Jadi, saya sudah dibiasakan dengan Solat Hajat, Solat Dhuha, Qiamullail, waktu-waktu doa yang mustajab seperti ketika hujan dan sebagainya agar saya rajin berdoa, dan agar doa saya makbul. Jadi, bila Allah anugerahkan saya kejayaan, saya sentiasa rasa, itu sebab saya doa dengan bersungguh-sungguh. Namun satu cerita mengubah persepsi saya.
Cerita yang saya dengar itu begini:
Kisah berkenaan seorang abang dan seorang adik.
Kedua-duanya adalah anak yatim lagi miskin. Mereka tinggal di rumah pusaka tinggalan ibu bapa mereka. Kedua ibu bapa mereka adalah hamba ALLAH yang soleh. Kedua-dua anak dididik untuk bergantung harap dengan Allah SWT.
Si abang, saban hari berdoa agar ALLAH mengubah nasib hidupnya. Dia meminta kepada ALLAH agar dipertemukan dengan isteri yang cantik lagi kaya. Dia meminta kepada ALLAH agar dirinya kaya raya.
Si Adik pula, seorang yang buta huruf. Tidak seperti abangnya, dia membaca doa pun dengan melihat kertas. Sebelum bapanya mati, dia pernah meminta bapanya menulis sesuatu di atas kertas, dan kertas itu sering dipegangnya setiap kali berdoa.
Akhirnya, Allah mempertemukan seorang perempuan yang cantik lagi kaya dengannya. Perempuan itu jatuh hati kepadanya, lantas berkahwin. Si Abang seperti mendapat durian runtuh dan kehidupannya terus berubah. Dia keluar dari rumah pusaka, dan meninggalkan adiknya.
Si Abang akhirnya kaya raya, malah terus kaya apabila dia memasuki medan bisnes. Dia sudah mula alpa dengan ALLAH, melewat-lewatkan solah, jarang membaca Al-Quran, tapi tidak pernah lalai untuk meminta kekayaan daripada ALLAH. Kalau masuk dalam bab perniagaan, kekayaan dunia, maka berbondong-bondong doanya kepada ALLAH. Dan ajaibnya, Allah beri apa yang dia minta. Si abang rasa dia istimewa.
Si adik pula, hidupnya tidak berubah. Dia masih seorang sederhana, dengan kelemahannya sebagai seorang buta huruf, dia hannya mendapat kerjaya sederhana, terus menjaga rumah pusaka. Si adik, juga rajin berdoa. Si abang tahu, si adik rajin berdoa. Tapi Si Abang melihat, hidup adiknya tidak berubah-ubah. Lantas satu hari, ketika Si Abang menziarahi adiknya, Si Abang berkata dengan sombong:
“Kau kena berdoa kuat lagi. Tengok aku, berdoa je ALLAH makbulkan. Kau ni tak cukup hampir dengan Allah ni. Berdoa pun masih tengok-tengok kertas. Tak cukup hebat.”
Si Adik tersenyum sahaja. Suka abangnya menegur kerana padanya, teguran abang amat bermakna.
Si Adik terus hidup sederhana, di dalam rumah pusaka, dengan doa melihat kertas saban hari, dan kehidupannya tetap tidak berubah. Tidak menjadi kaya seperti abang.
Satu hari, Si Adik meninggal dunia. Ketika Si Abang mengemas-kemas rumah pusaka, dia berjumpa satu kertas. Kertas itu adalah kertas yang adiknya sering pegang ketika berdoa.
Si Abang menangis teresak-esak apabila membaca kertas kecil itu.
Kertas itu tertulis: “ Ya Allah, makbulkan lah segala doa abang aku”
MasyaALLAH…
Si Abang mula membandingkan dirinya dengan adiknya. Adiknya kekal taat kepada ALLAH dan tidak meringan-ringankan urusannya dengan ALLAH SWT. Adiknya, sedikit pun tidak meminta dunia kepada ALLAH, malah tidak meminta apa-apa untuk dirinya. Tetapi adiknya meminta agar segala doa Si Abang dimakbulkan. Si Abang, tidak pernah sedikit pun mendoakan Si Adik.
Si Abang mula nampak, rupanya, bukan doa dia yang makbul. Tetapi doa adiknya telah diterima oleh ALLAH SWT, lantas segala doanya menjadi makbul.
Cerita ini meruntun hati saya, dan buat saya sentiasa berfikir panjang.
Kadang-kadang kita, bila Allah realisasikan hajat kita, kita suka mengimbau usaha-usaha kita.
"Aku buat beginilah yang jadi begini."
"Doa aku makbul seh!"
"Aku ni memang Allah sayang. Tengok, semua benda Allah bagi. Aku minta je pun."
Tanpa sedar kita bongkak. Takabbur.
Sedangkan, kita tak tahu, mungkin yang makbul itu adalah doa ibu bapa kita, doa adik beradik kita, doa sahabat-sahabat kita. Bukannya doa kita.
Cerita itu sangat menyentuh hati saya.
Membuatkan setiap kali saya berdoa, saya tidak lupa mendoakan ibu bapa saya, guru-guru saya, keluarga saya, adik beradik saya, sahabat-sahabat karib saya, yang teramat akrab saya sebutkan namanya agar lebih merasai bahawa saya memerlukan mereka mendoakan saya juga.Kita ini banyak dosa. Banyak hijab.
Mungkin doa orang lain yang lebih bersih hatinya, lebih suci jiwanya yang makbul, menyebabkan rahmat Allah tumpah pada diri kita. Sebab itu jangan berlagak. Jangan tinggi diri. Jangan rasa doa kitalah yang makbul. Pulangkan semuanya kepada Allah. Doa itu sebahagian daripada usaha sahaja sebenarnya.
Dan jangan rasa segan nak minta orang lain doakan kita.
Semoga bermanfaat note ini.
Sebarkan jika anda rasa ada manfaatnya.
Semoga Allah redha dengan kita.

NOTA :
Tazkirah ini diambil dari email yang diterima. Harap dapat kebenaran dari pemiliknya semoga kita semua mendapat manfaat daripadanya. Insyaallah

Sunday, January 8, 2012

Siapa Barbarosa Dalam Pirates of The Carribean?




Anda yang gemar membaca komik Asterix dan anda yang pernah menonton filem 'Pirates of The Carribean', tentu ingat watak jahat 'Barbarossa' bukan? Sejak zaman pertengahan, aneka macam karya fiksyen Eropah dan Amerika biasa menggunakan nama Barbarossa untuk menamakan watak seorang penjahat (biasanya seorang lanun laut jahat).



The Barbarosa Brothers

Pada abad ke-15 Masihi, di Laut Mediterranean ada dua pelaut bersaudara yang disebut The Barbarossa Brothers. Kedua-dua tokoh ini menjadi legenda dalam dunia lautan dan merupakan tokoh pelaut yang sangat ditakuti orang-orang Eropah pada zamannya.

Kebiasaannya ialah merampas barang-barang berharga yang dibawa oleh kapal-kapal milik kerajaan-kerajaan Eropah yang melintasi Laut Mediterranean. Awak kapal yang dirampas biasanya diberi dua pilihan; mati kerana melawan atau hidup dengan menyerah secara sukarela.

Siapakah sebenarnya Barbarossa yang sangat ditakuti oleh orang-orang Eropah selama berabad-abad itu? Mengapa hingga zaman sekarang nama itu terus menghantui benak dan fikiran mereka?

Barbarossa bukanlah sebuah nama. Barbarossa merupakan kata dalam bahasa Latin-gabungan dari kata barber (janggut) dan rossa (merah). Jadi Barbarrossa bererti janggut merah. Barbarossa merupakan julukan yang diberikan oleh para pelaut Eropah kepada adik-beradik Aruj dan Khairuddin dari Turki. Kedua-dua adik-beradik ini hanyalah pelaut-pelaut biasa yang rutin belayar di kawasan perairan Greece dan Turki.

Awal Gerakan Barbarosa

Pada suatu hari, tanpa sebab yang jelas, kapal milik keluarga mereka diserang secara kejam oleh kapal tentera Knight of Rhodes. Dalam peristiwa ini, adik bongsu Aruj dan Khairuddin terbunuh. Aruj dan Khairuddin sangat sedih dengan kematian adik bongsu mereka.

Sejak saat itu, mereka melakukan aksi lanun terhadap semua kapal-kapal tentera milik kerajaan-kerajaan Kristian. Aksi-aksi mereka sangat menggemparkan dan membuat mereka ditakuti tentera Kristian. Aruj dan Khairuddin pun kemudian dikenali sebagai The Barbarossa Brothers Pirates kerana kedua-duanya berjanggut merah.

Kaum Eropah menyebut Barbarossa sebagai lanun laut, walaupun tidak ada bendera hitam dan tengkorak yang menjadi simbol lanun. Bendera yang dipasang Aruj dan Khairuddin di kapal mereka adalah sebuah bendera berwarna hijau mengandungi kaligrafi doa Nashrun minallaah wa fathun qariib wa basysyiril mu'miniin, wahai Muhammad, empat nama khulafaur rasyidin, pedang Zulfikar dan bintang segi enam Yahudi (Bintang David) kerana anak kapal yang dipimpin kedua bersaudara ini terdiri daripada orang-orang Islam dari bangsa Moor, Turki, dan Sepanyol, serta beberapa orang Yahudi.

Pada tahun 1492 M, Andalusia yang sejak tahun 756 M dikuasai oleh Daulah Khilafah Islamiyah, jatuh ke tangan Pasukan Salib yang terdiri daripada pasukan gabungan Aragon dan Sepanyol. Dalam peristiwa penaklukan Andalusia ini, berjuta-juta orang Islam dan Yahudi tewas dibantai pasukan yang dipimpin Raja Ferdinand II dari Aragon.

PERJUANGAN JIHAD Barbarosa

Peristiwa itu mengubah haluan misi dendam Aruj dan Khairuddin menjadi misi Jihad Islam. Berganding bahu bersama sekumpulan militan bangsa Moor, mereka kemudian menyelamatkan puluhan ribu Umat Islam dari Sepanyol ke Afrika utara (Maghribi, Tunisia dan Algeria). Kemudian mereka membina pangkalan pertahanan laut di Algeria untuk menghalang gelombang serangan Pasukan Salib dari jalur Afrika Utara menuju Tanah Suci Palestin.

Khalifah Islam ketika itu, Sulaiman I, mendengar cerita-cerita kehebatan Barbarossa bersaudara. Sulaiman I sangat kagum pada heroisme mereka. Kerana prestasi mereka di lautan, akhirnya Sulaiman I mengangkat Aruj dan Khairuddin sebagai Kapudan Pasha (Panglima Tentera Laut) Khilafah Islamiyyah untuk memantapkan Tentera Laut Daulah Khilafah Islamiyah yang amburadul.

HASUTAN PIHAK SEPANYOL

Pada tahun 1518 Sepanyol berjaya menghasut Amir bandar Tlemcen (Tilmisan) untuk melancarkan pemberontakan kepada kepemimpinan Aruj. Aruj kemudian menyerahkan pemerintahan Algeria kepada Khairuddin untuk sementara. Lalu ia memimpin pasukan untuk berangkat ke Tlemcen. Hati Aruj sangat pilu kerana dia malah berperang dengan saudara sendiri sesama Muslim. Akibatnya dia kurang menumpukan perhatian dan pasukannya kucar-kacir.

Aruj sempat melepaskan diri, namun banyak pasukannya yang tertangkap. Kerana hubungan emosionalnya dengan anak buahnya, Aruj kembali ke Tlemcen untuk bertempur dan dia gugur dalam pertempuran tersebut.

Dengan gugurnya Aruj, kepimpinan Tentera Laut Daulah Khilafah Islamiyah beralih ke tangan Khairuddin. Sepanyol mengira bahawa era kejayaan Barbarossa di Laut Tengah telah berakhir. Lalu, dengan yakin, Sepanyol menghantar 20,000 tenteranya ke Algeria. Pertempuran hebat pun berlaku, namun Khairuddin berjaya menewaskan pasukan laut tersebut.

Sejarah dan Kehebatan Pasukan Janissary

Dengan meminimumkan ancaman dari negeri sekitar Algeria, selain ancaman utama Sepanyol, Khairuddin kemudian meminta kepada Khalifah Sulaiman I agar kuasa Amir Tunisia dan Tlemcen dialihkan kepadanya. Sulaiman I pun setuju. Pada 1519, Khalifah mengangkat Khairuddin sebagai beylerbey (Bakhlair Baik) atau wakil Khalifah untuk wilayah Algeria dan sekitarnya. Kemudian Khairuddin juga ditugaskan untuk memimpin pasukan tentera elit Daulah Khilafah Islamiyah, Pasukan Janissary.

Dalam masa kepimpinan Khairuddin, Pasukan Janissary berjaya melakukan banyak penyelamatan Umat Islam di Andalusia. Tercatat mereka melakukan 7 kali pelayaran dengan 36 buah kapal untuk mengangkut Umat Islam Sepanyol yang diburu seperti haiwan oleh Ferdinand II dan Pasukan salibnya.

Pertengahan dekad 1520-an, Pasukan Darat Janissary yang dipimpin oleh Khalifah Sulaiman I berjaya memenangi semua pertempuran darat. Pada masa yang sama, Pasukan Laut Janissary di bawah pimpinan Khairuddin juga berjaya mengawal lalu lintas pelayaran di Laut Tengah sepenuhnya. Keadaan ini membuat Pasukan Salib Kristian Eropah menjadi keruan.

Akhir Gemilang Barbarosa Sebelum Kematiannya

Tahun 1538, Pasukan Salib Gabungan Itali-Sepanyol menyerang Preveza yang ketika itu merupakan pelabuhan penting di Laut Tengah. Andrea Doria memimpin 40 kapal dan Barbarossa hanya memimpin 20 kapal. Namun dengan kecerdikannya, Barbarossa memecah armadanya ke tiga arah dan memerangkap Pasukan Andrea Doria di tengah-tengah dan kemudian mengebom armada Andrea Doria habis-habisan.

Andrea Doria dan armada lautnya pun lari dari pertempuran. Walau begitu, Khairuddin tidak mengejarnya kerana dia tidak mahu berperang di laut lepas, mengingati kapal-kapal armada laut Sepanyol mempunyai peralatan yang lebih canggih. Apalagi ia hanya memimpin 20 kapal.

Tiga tahun kemudian, Pasukan Salib Gabungan Sepanyol-Genoa kembali menyerang Algeria dengan kekuatan 200 kapal. Mereka sengaja melancarkan serangan di luar musim pelayaran, untuk mengelakkan pertemuan dengan Pasukan Barbarossa. Rakyat Algeria di bawah pimpinan Hasan Agha berjuang sekuat tenaga untuk mempertahankan Algeria. Charles V dan Andrea Doria yang memimpin serangan tidak menjangka bahawa pertahanan dan strategi perang Hasan Agha sangat matang, sehingga armadanya pun kacau-bilau.

Ketika itu pula tiba-tiba badai laut dahsyat menghentam Laut Mediterranean. Andrea Doria dan Charles V berjaya selamat, dan kembali ke negerinya dengan kekalahan pahit.

Tahun 1565, di penghujung usia, Khairuddin Barbarossa memimpin pasukan untuk merebut Malta dari tangan Knight of St. John. Namun dalam pertempuran itu, Khairuddin gugur. Kemudian Khairuddin dimakamkan di Istanbul. Berhampiran kuburnya dibina sebuah masjid dan madrasah untuk mengenangnya. Hingga kini makam tersebut masih dijaga untuk menjadi bukti kepahlawanan Khairuddin atau dikenali sebagai Barbarossa yang namanya masih ditakuti bangsa Eropah hingga zaman sekarang.
 
Powered By Blogger